Wednesday, 27 July 2016

Usahawan Berjaya



Latar Belakang
Norbana Binti Jaafar adalah seorang usahawan butik produk kecantikan dan spa, beliau dilahirkan pada 13 Julai 1983 di Banting, Selangor Darul Ehsan, beliau pada mulanya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sg.Besar, Selangor dan melanjutkan pengajian di Sekolah Menengah Sungai Manggis di Banting Selangor. Di sebelah petang pula beliau ke sekolah pondok dari berumur 13 tahun sehingga 17 tahun. Setelah tamat persekolahan, beliau menyambung pelajaran di Kolej Koperasi Polis di Selayang dalam bidang pengurusan dan perniagaan selama dua tahun. Kini beliau berusia 33 tahun dan Beliau mempunyai dua orang anak hasil perkongsian hidup bersama suami Mohamad bin Abdullah.
Minat beliau pada kencantikan telah membuatkan beliau ingin menceburi bidang kecantikan. Sehubungan dari itu beliau mula mengambil kursus dalam bidang Jurukecantikan Solekan dan Mendandan Rambut di Pusat Kemahiran. Beliau juga menyertai kursus-kursus keusahawanan dan perniagaan, beliau juga banyak membantu pusat-pusat pengajian yang memerlukan tenaga pengajar dalam bidang kecantikan. Penglibatan beliau dalam dunia perniagaan bertunas sejak kecil lagi. Bermula dengan berniaga secara kecil-kecilan akhirnya membuahkan hasil yang lumayan. Hadir dalam keluarga yang tidak mewah membuatkan beliau menghargai setiap sen yang dimiliki. Beliau mula berniaga sejak berusia lapan tahun lagi sewaktu tinggal bersama neneknya di Sabak Bernam, Selangor. Semangatnya hadir untuk berniaga apabila melihat rakan sekolahnya membawa wang saku lebih RM1 manakala beliau hanya 50sen. Neneknya juga seorang peniaga kecil-kecilan, meniaga di rumah dengan menjual pelbagai jenis kerepek dan kacang. Beliau membantu neneknya melakukan kerja-kerja pembungkusan dan berurusan dengan pelanggan. Sejak dari itu timbul minat ingin mencuba berniaga di sekolah.


Penglibatan Dalam Dunia Perniagaan

Bermulanya dengan langkah pertama beliau membawa pelbagai jenis kerepek dan kacang untuk dijual di sekolah. Jika budak lain pergi ke sekolah hanya membawa satu beg sekolah untuk mengisi buku, namun untuk beliau, pasti ada satu lagi beg tambahan untuk memuatkan pelbagai jenis kerepek dan kacang untuk dijual. Perniagaan kecil-kecilan itu dilihat sangat berkesan dan berhasil lantas memberi keyakinan semangat untuk melakukannya sehingga ke peringkat sekolah menengah. Semasa di sekolah menengah beliau mempelbagaikan jualan kerongsang, tudung serta barangan kosmetik dan produk kesihatan.
Apabila habis zaman persekolahan, beliau mula menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah ke rumah menjual jamu dan pelbagai jenis produk kecantikan jenama terkenal di pasar-pasar tani, pasar malam dan bukan itu sahaja, pada waktu tengah hari pula, beliau  mengetuk pintu pejabat untuk menjual. Walaupun ada kalanya terasa segan kerana pelanggan tidak mahu mendengar penjelasan yang diberikan, ianya menjadi titik permulaan untuk beliau serius berniaga. Baginya, malu itu perkara kedua. Prinsipnya mudah, bukan kerana modal kita berjaya tetapi usaha dan kesungguhan paling penting. Selepas berhempas pulas berniaga dari rumah ke rumah, bermodalkan wang simpanan yang dikumpul, beliau mula menyewa sebuah kiosk di pusat beli-belah di Maluri, Kuala Lumpur.


Modal

Semangat dan cita-cita ingin menjadi usahawan yang berjaya di usia muda serta tinggal di Kuala Lumpur membuatkan beliau perlu mencari jalan untuk menambah pendapatan. Setiap hujung minggu, beliau membuat bengkel kecantikan dan kesihatan di tempat-tempat kerja sama ada swasta mahupun kerajaan. “Sambil menyelam minum air”, itulah yang beliau amalkan apabila beliau turut menjual produk kecantikan dan kesihatan pada masa bengkel dijalankan. Harga yang dikenakan juga tidaklah mahal, antara RM10 hingga RM20 sahaja.
Melalui bengkel yang dijalankan, beliau mampu menjana pendapatan sehingga RM4000 sebulan. Selepas gigih menjual produk daripada pelbagai jenama, terlintas difikiran beliau adalah lebih baik beliau membuka butik produk kecantikan. Maka beliau mengambil langkah drastik untuk mengeluarkan simpanan yang ada, beliau gunakan sepenuhnya untuk membuka sebuah butik produk kecantikan.
Walaupun sedar risiko muflis itu ada, beliau berjaya mendapatkan sebuah kedai untuk dijadikan butik produk kecantikan dengan kadar sewa yang rendah dan mula beroperasi namun selepas membuat kajian selama beberapa bulan, butik produk kencantikannya berjaya dan mendapat sambutan pelbagai kaum lelaki dan wanita yang bertempat di Maluri, Cheras, Kuala Lumpur. Beroperasi di lot kedai di tingkat satu dengan seorang pekerja sahaja dan mempunyai lima produk utama iaitu Rawatan Rambut, Produk Pelansingan, Minuman Kesihatan Wanita, Bengkung Ibu Bersalin, Lipstick Kolegen dan kini butik produk kecantikanya telah mengorak langkah maju setapak kehadapan dengan menambah pelbagai produk berjenama terkenal 100% Bumiputra. Dalam masa yang sama beliau dapat membantu produk–produk keluaran Bumiputra untuk dipasarkan dan menjadi pemborong dan stokis.
Beliau juga pernah mengalami kerugian yang hampir-hampir membuatkan beliau menutup perniagaannya, peribahasa mengatakan langit tidak selalunya cerah itulah adat perniagaan, untung dan rugi adalah asam garam dalam perniagaan.


Kemerosotan Ekonomi

Pada tahun 2011 perniagaan beliau mengalami sedikit demi sedikit perubahan perniagaan beliau mula mengalami kerugian dan kurang sambutan tetapi beliau tabah dan menghadapi dengan tenang dan cuba mencari jalan untuk bangkit semula. Dengan sokongan suami dan keluarga beliau bertahan untuk beberapan bulan. Dalam situasi begini beliau terpaksa mengurangkan pengambilan stok baru dan juga terpaksa melakukan kerja-kerja penghantaran sendiri bagi menjimatkan perbelanjaan. Beliau juga terpaksa berhentikan beberapa orang pekerja dan melakukan pelbagai kerja sendiri. Dari segi kewangan juga merosot, simpanan yang ada bertambah berkurangan. Untuk menyelamatkan perniagaan, beliau terpaksa mencari inisiatif lain bagi menanggung kos kerugian. Berberapa bulan selepas itu beliau telah pergi ke putrajaya untuk berdaftar sebagai tenaga pengajar dan diiktiraf untuk mengeluarkan sijil kepada pelajar yang tamat kursus.
Perancangan seterusnya beliau telah menyewa satu kedai untuk dijadikan tempat kursus. Beliau telah mengatur strategi, dan apa yang dirancangkan  berjalan dengan lancar, beliau mula dengan mengadakan kelas kelas kemahiran sekaligus dapat menjual produk untuk menstabilkan perniagaan beliau, dengan memberi peluang kepada ibu-ibu tunggal dan anak-anak remaja lepasan sekolah untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan produk kecantikan dan perawatan muka. Beliau dengan gigih mengadakan kelas-kelas serta memberi bimbingan kepada sesiapa pun yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan bayaran yang berpatutan. Beliau juga telah mengeluarkan beg rawatan muka serba lengkap yang berpatutan dan mampu milik. Dengan adanya beg rawatan ini pelajar yang telah menamatkan kursus dan boleh terus berniaga. Beg rawatan serba lengkap ini membawa sinar baru kepada para peniaga yang baru berkecimpung dalam bidang ini kerana tidak membebankan dan ini adalah sangat efektif murah dan sangat mudah digunakan. Para peniaga hanya mengeluarkan modal beg sahaja peralatan sudah disediakan bahan–bahan produk para peniaga boleh memilih produk jenama yang disukai dan bersesuaian dengan jenis rawatan.
Beliau telah banyak membantu ibu tunggal untuk menceburkan diri dalam perawatan muka rumah ke rumah dengan adanya set beg serba lengkap yang mudah dibawa kemana-mana sahaja, dengan adanya kemahiran ini ibu-ibu tunggal dapat menjana pendapatan sendiri.  Beliau bukan sahaja dapat bangkit semula malah dapat membantu golongan yang memerlukan tunjuk ajar. Beliau tidak kedekut untuk mencurahkan ilmu dan pengalaman beliau dalam bidang yang diminatinya. 
Dari masa ke semasa beliau yakin perniagaan beliau berpotensi berkembang maju kehadapan dan beliau mula mencari dana untuk membuka cawangan di berberapa tempat di Kuala Lumpur untuk permulaan. Beliau telah memohon pinjaman di bank untuk modal mengembangkan lagi perniagaan beliau tetapi pihak bank tidak meluluskan pinjaman beliau kerana perlukan penjamin atau tanah aset untuk loan dan sebagainya. Beliau tidak berputus asa begitu sahaja, Beliau mencari alternatif lain jika gagal dan bukanya merungut.
Walaupun permohonan beliau untuk membuat pinjaman bank, ditolak, beliau masih lagi mencari jalan dan akhirnya beliau cuba mendapatkan pinjaman dari rakan-rakan terdekat, para peserta yang pernah megikuti bengkel kecantikan beliau dimana beliau adalah pengajar jemputan. Semasa mengadakan bengkel kecantikan di seluruh Malaysia, beliau telah menghubungi jenama-jenama produk yang terkenal di Malaysia untuk berkongsi idea bersama untuk membantu beliau. Beliau telah menunjukkan kertas-kertas kerja yang ditolak oleh pihak bank. Rata-rata yang menyertai mesyuarat yang beliau anjurkan, semua berminat dan yakin akan kewibawaan beliau untuk mengembangkan perniagaan beliau di seluruh negeri.
Bagi sesetengah orang, memikirkan modal sahaja sudah menakutkan untuk dicuba, tetapi bagi beliau itu adalah penambah semangat untuk berjaya. Setelah mendapat modal sedikit sebanyak untuk dijadikan pelaburan modal awal dan digabungkan dengan berberapa hasil simpanan. Jumlah keseluruhannya terkumpul sekurang–kurangnya RM150 ribu. Beliau mula mengunakan modal yang ada dengan menguatkan jenama dan promosi serta membuat iklan dan mendapatkan ruangan pengiklanan dari syarikat-syarikat bekenaan. Bermulanya dengan hanya beroperasi ditingkat satu beliau telah berpindah di lot kedai bawah dan telah menyewa satu lot kedai bagi melancarkan urusan perniagaan dan memudahkan semua rakan niaga berurusan. Sehingga ke hari ini beliau tidak lupa jasa pihak-pihak yang telah membantu beliau.
Setahun kemudian perniagaan beliau bertambah maju dan berkembang. Dalam tahun yang sama beliau telah membuka satu lagi cawangan di sekitar Lembah klang. Selain cawangan butik produk kecantikan yang diilhamkan oleh beliau. Beliau juga telah membuka spa rawatan kecantikan yang diberi tagline “Kembali Remaja”. Beliau begitu bersungguh-sungguh memberikan perkhidmatan yang terbaik buat pelanggan.  Spa rawatan kecantikan adalah untuk membantu wanita dan tidak mengira usia sama ada bekerjaya tiada masa untuk meremajakan diri di rumah boleh mendapatkan rawatan dan khidmat spa beliau. Menjaga kecantikan dari hujung rambut hingga la ke hujung kaki adalah keutamaan beliau. Bermulanya spa hanya untuk kaum wanita kini sudah ada spa untuk kaum lelaki juga. Kini kaum lelaki juga boleh meremajakan diri di spa rawatan untuk lelaki. Spa yang diilhamkan oleh beliau bukan sahaja meremajakan diri malahan untuk menghilangkan stress seharian di tempat kerja. Setiap rawatan memiliki kelebihan tersendiri. Beliau menggunakan bahan-bahan semula jadi yang dihasilkan dari produk–produk keluaran bumiputra. Untuk memberi keselesaan dan kedamaian di spa beliau. Beliau juga telah pergi membuat lawatan sambil belajar ke luar negara yang memiliki spa–spa terkemuka, salah satu cara dekorasi hiasan dalaman bagi menarik lebih ramai lagi pengunjung.
Apabila sambutan yang diterima sangat mengalakkan beliau terpangil untuk membuka spa di hotel terkemuka di Malaysia. Beliau rasa diperingkat ini beliau masih perlu belajar dan terus belajar. Apa yang beliau miliki kini, masih terlalu jauh kerana beliau juga mempunyai cita–cita untuk menghasilkan produk sendiri dan jadi lebih maju serta berjaya dalam bidang produk kecantikan dan kesihatan. Dalam beberapa tahun beliau membuat kajian tentang produk-produk yang ada dipasaran beliau juga melawat kilang-kilang penghasilan produk–produk kesihatan. Beliau juga telah banyak belajar tentang beberapa produk terkenal di Malayasia tidak asing lagi beberapa jenama terkenal sehingga ke hari ini seperti Mustika Ratu, Terlajak Laris, QuPuteh, D’HERB dan lain-lain lagi. Dari situ semangat untuk menghasilkan produk sendiri semangkin kuat.
Pada pertengahan tahun 2013 beliau lihat permintaan penjagaan ibu selepas bersalin mendapat tempat dihati pelanggan dan tidak mengira bangsa. Timbulnya minat dan ilham untuk menghasilkan set penjagaan ibu selepas bersalin dari set penjagaan tersebut termasuklah jamu, tungku dan bengkung. Beliau mula berusaha mendapatkan maklumat tentang penjagaan dalaman serta luaran ibu selepas bersalin. Setelah cukup maklumat yang diperolehinya beliau mula mencari tumbuh-tumbuhan yang digunakan oleh orang dahulu kala semasa penjagaan dalam pantang dan dibawa ke lab untuk di ujikaji. Beliau banyak membuat kajian tentang tumbuh-tumbuhan bagi merawat luka-luka dalaman, membuat kajian tentang penggunaan tumbuhan herba sebelum dan selepas penggunaan serta tempoh tarikh luput. Dan setelah beberapa adunan yang telah diuji kaji akhirnya beliau berjaya menemui apa yang dicari dalam pencarian mencipta jamu yang boleh merawat dalaman serta dalam masa yang sama dapat menjaga kesihatan.
Bukan mudah bagi beliau untuk mendapatkan bahan bahan yang bermutu tinggi beliau terpaksa merantau jauh ke negara asing seperti India, Thailand dan Indonesia, pelbagai halangan dan rintangan tidak sedikit pun mematahkan semangat beliau malah dorongan kuat dari suami dan keluarga membuatkan beliau berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. Selepas mendapatkan bahan-bahan yang bermutu tinggi beliau berusaha pula untuk mencari tempat pemprosesan yang bersesuaian dari mula pemprosesan sehinggalah pembungkusan. Usaha pencarian beliau tidak berakhir di situ sahaja malah beliau dapat mencari kilang yang didapati bersesuai dengan tujuan, hasil daripada pengenalan dari seorang sahabat. Kilang tersebut akan dijadikan tempat pemprosesan jamu jenama sendiri yang akan dikeluarkan nanti.
Bekalan pembuatan kain bengkung pula beliau telah memilih kain bengkung yang berkualiti dan dijahit dengan kemas dan selesa oleh tukang jahit yang berpengalaman dalam menjahit pakaian dalam wanita yang sangat menitik beratkan keselesaan si pemakai. Beliau juga telah mencubanya sendiri dalam beberapa bulan untuk memastikan ketahan kain. Kain tersebut yang diimport dari Dubai telah memberikan kelainan yang sangat berbeza senang diuruskan tidak mudah kulat dan senang dipakai. Reka bentuk yang sangat moden juga boleh dipakai sesiapa sahaja yang mempunyai masalah perut buncit. Bahan tungku pula beliau dapatkan daripada bahan-bahan yang selamat digunakan.  Keistimewaan produk yang beliau ciptakan ialah setiap bahan yang digunakan telah diuji terlebih dahulu dan beliau sendiri telah mencuba dan membuat perbandingan dengan produk lain.


Promosi dan pengiklanan

Bulan Ogos 2014 beliau mula menubuhkan Syarikat sendiri untuk mengukuhkan lagi perniagaannya dalam bidang perniagaan, Syarikat yang dikenali sebagai NM Damai Resourses telah ditubuhkan dan beliau telah mula menghasilkan rekaan bengkung ibu bersalin jenama sendiri dan set perawatan serta penjagaan, pelangsingan selepas bersalin. Pada peringkat awal pengenalan jenama NMD ini, pelbagai kerja dilakukan sendirian termasuk mengelilingi Malaysia untuk tujuan promosi. Pelbagai tugas dilakukan serentak termasuk menjadi pemandu dan ejen pemasaran. Beliau juga tidak malu untuk mempromosikan jenamanya di pasar malam kerana beliau percaya produknya adalah produk mampu milik segenap lapisan masyarakat. Menjadikan diri sendiri sebagai jurucakap produknya.
Istimewanya lagi mengenai produk beliau adalah bahan–bahan 100 peratus berasaskan tumbuhan herba dan juga murah berbanding produk kesihatan lain di pasaran. Produk NMD boleh didapati dengan harga RM80 di setiap lokasi tumpuan ramai termasuk pasar malam, pasar tani, farmasi, kedai jamu, dan pusat jualan NMD sendiri. Untuk menguatkan lagi jenama  produk keluaran syarikat beliau pengiklanan adalah pilihan utama dengan mendapatkan ruang pengiklanan dari syarikat-syarikat berkenaan seperti di majalah dan akhbar yang terlaris di Malaysia seperti Mingguan Wanita, Midi, Keluarga, Harmoni dan Metro di mana iklan beliau  telah disiarkan setiap minggu dan ianya memberi impak yang sangat besar kepada syarikat. Beliau juga telah bersiaran di radio Nasional dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Lebih membanggakan NMD menjadikan tarikan pelanggan bukan sahaja di Malaysia malah Singapura dan juga Brunei sehingga menjadi bualan masyarakat. Pemasaran adalah nyawa perniagaan Itulah yang dilakukan oleh beliau bagi mendapatkan lebih ramai pelanggan disamping membina kepercayaan dikalangan para pelanggan.  Antara hasil kempen pemasaran yang paling efektif adalah menghasilkan slogan “Kembali Ramping”. Yang memberi impak menakjubkan kepada perniagaan beliau. Bagi menarik perhatian orang ramai, pengasas produk ini sendiri iaitu Norbana Binti Jaafar selalu menggunakan taglinenya “Kembali Ramping” bagi menarik orang ramai terhadap produknya. Walaupun pada mulanya ada pihak yang menyampah kini tidak lagi. Dan siapa kata slogan hanyalah perkataan main-main, namun perlu dipandang serius untuk menarik pelanggan seramai mungkin. Beliau juga tidak sombong dan sentiasa mesra pelanggan antara penyumbang terbesar kepada wujudnya syarikat NMD adalah mereka terdekat yang sudi meminjamkan wang dan melabur untuk perniagaan beliau. Bagi beliau adalah jasa tidak terhingga mereka kepada NMD malah beliau sendiri sentiasa mengucapkan terima kasih dan melayan mereka dengan baik. Walaupun beliau sudah berada di puncak kejayaan.
Kini syarikat beliau sudah berpindah ke bagunan empat tingkat dengan seramai 12 orang kakitangan serta telah menambah lagi satu cawangan baru jumlah kesemuanya tiga cawangan butik produk kecantikan disetiap daerah beserta dengan rangkaian produk baru yang dihasilkan sendiri disamping menambah produk–produk dari jenama–jenama terkenal lain juga. Setiap cawangan mempunyai sekurang kurang 1000 jenis produk dari pelbagai jenama bermula dengan penjagaan kesihatan sehingga la untuk menjaga penampilan. Khas untuk lelaki dan wanita tanpa mengira usia.
Beliau mempunyai misi yang jelas dalam hidupnya. Menjadikan empayar kosmetik Coswe, Avon sebagai tanda aras beliau berharap dapat mengembangkan jenama NMD sebagai satu jenama global. Disamping itu, beliau turut menyimpan hasrat untuk menghasilkan 10 jenis produk lagi pada masa akan datang bagi memberi lebih pilihan kepada para pengguna. Sambutan yang luar biasa membuatkan beliau berani mengembangkan lagi perniagaan dengan memberi khidmat rawatan selepas membeli produk rawatan yang ditawarkan seperti mandian dan urutan juga disediakan kepada ibu selepas bersalin.
Hasil produk beliau juga terdapat disetiap cawangan yang ada di Malaysia. Bukan itu sahaja jenama produk beliau juga mendapat permintaan yang tinggi oleh jenama produk lain.  Beliau kini sudah boleh berbangga dengan pencapaian yang diperolehi walaupun belum sampai dikemuncak. Pengalaman yang beliau miliki kini dapat mematangkan beliau dalam bidang yang diceburi. Beliau masih mempunyai azam untuk memiliki kilang sendiri dan sebuah Syarikat Sendirian Berhad yang masih belum tercapai walaupun beliau telah pun menghasilkan produk jenama sendiri. Beliau masih belajar tentang penghasilan produk kursus untuk pengilangan produk kesihatan dan kecantikan.  Beliau juga ingin membuka ruang kepada syarikat-syarikat lain yang berminat untuk menghasilkan produk di bawah syarikat beliau. Menyediakan kemudahan dan perkhidmatan dari awal sehingga akhir penghasilan sesebuah produk termasuk penghasilan kotak dan reka bentuk produk mengikut citarasa dan kepuasan pelanggan masih belum tercapai. Walau bagaimanapun beliau tetap berusaha memperkasakan lagi produk keluaran syarikat beliau. 




Wawasan, Misi dan Objektif Syarikat

Pada masa kini NMD telah menjadi satu jenama yang semakin mendapat tempat di hati pengguna sama ada di Malaysia , Singapura dan Brunei dan syarikat ini juga berazam untuk menjadi salah satu jenama kosmetik yang terkenal suatu hari nanti di Malaysia serta negara-negara jiran dan matlamat syarikat NMD sehingga ke seluruh dunia. Syarikat NMD mempunyai misi dan visi serta objektif antaranya ialah

Misi Syarikat

Membantu golongan wanita dan lelaki yang mengalami masalah kesihatan dalaman dan luaran untuk tampil dengan lebih yakin dan bergaya. Disamping membantu mereka menjana pendapatan yang lebih lumayan menjual produk daripada NMD.

Visi Syarikat

Visi Utama NMD adalah untuk menjadi sebuah syarikat single level yang mengeluarkan pelbagai produk kecantikan dan kesihatan dengan konsep terbuka yang lebih mudah dan ringkas sekaligus mempunyai sistem yang terbaik dari segi pengurusan, berkesan, kualiti serta harga berpatutan yang mampu dimiliki oleh semua golongan sekaligus dapat menjana pendapatan serta keuntugan bagi kedua-dua pihak iaitu pengeluar dan peniaga.


 Objektif Syarikat

1.         Membantu masyarakat merawat wajah luaran dan dalaman.
2.         Memberikan perkhidmatan selepas jualan.
3.         Mempunyai konsep kedai yang kemas, menarik, bersih dan ceria.
4.         Memberikan produk yang terbaik untuk pelanggan untuk masa jangka panjang.
5.         Megedarkan produk kosmetik, kesihatan dan kecantikan semua produk yang terdapat di pasaran khususnya Malaysia dan menjadikan sebagai kedai semua dalam satu bagi memudahkan pengguna (One Stop Center).
6.         Membesar menjadi sebuah syarikat sendirian berhad.
7.         Menjadi sebuah syarikat bumiputera yang berdaya saing dan kompetitif dalam perniagaan yang sangat mencabar.

Ibu kepada dua orang cahaya mata ini suka hidup bermasyarakat semua usaha yang dilakukan bukan sahaja untuk dirinya sendiri malah membantu lebih ramai usahawan-usahawan yang ingin berjaya seperti beliau. Beliau juga menerapkan pendekatan supaya anak–anaknya hidup berdikari. Sejak kecil anak-anaknya dilatih menjual dan mereka mendapat upah. Bagaimanapun beliau berkata pendidikan menjadi keutamaan dan mereka diberi pendidikan setinggi yang mungkin. Bukan semua anak beliau yang terlibat dalam perniagaan. Anak sulung sahaja yang menunjukkan minat. Bercerita tentang pengalaman menguruskan perniagaan tersebut, beliau pernah menangkap pekerja yang menipu dan mencuri. Macam–macam cara orang hendak menipu dan beliau pernah menangkap pekerja yang menjual produk yang dimasukkan ke dalam beg sandang. Ketika kebanyakan wanita yang seusianya menjadi suri rumah sepenuh masa di rumah. Beliau sibuk merancang strategi bagi mengukuhkan kedudukan dalam perniagaan. Beliau bukan sahaja menjadi Pengarah syarikat kepada jenama NMD beliau juga ibu dan isteri. Pengalaman turun padang mendekati kehidupan golongan susah dan ibu tunggal membuatkan beliau berhasrat untuk menubuhkan yayasan satu hari nanti bagi menguruskan hal kebajikan dan sumbangan kepada orang ramai.
            Niat beliau adalah bertujuan untuk berniaga bukan untuk kekayaan diri sendiri tetapi untuk membantu orang lain terutama golongan miskin dan ibu tunggal yang menikmati kehidupan yang lebih baik. Beliau juga berkongsi pengalaman berniaga, termasuk berurusan dengan bangsa lain membuka mindanya untuk menyedarkan masyarakat islam khususnya orang melayu betapa perlunya mengamalkan sikap tolong-menolong antara satu sama lain seperti yang diamalkan bangsa lain.


Kesimpulan

Secara keseluruhannya, bidang keusahawanan merupakan bidang yang sangat penting dalam memastikan pembangunan sesebuah negara. Sejarah telah membuktikan bahawa negara yang mempunyai ramai usahawan adalah lebih maju ke hadapan dalam perkembangan ekonominya. Maju dan mundur ekonomi sesebuah negara adalah bergantung usahawan yang dinamis dan berpandangan jauh. Maka kerajaan telah mengambil inisiatif menubuhkan Kementerian Pembangunan Usahawan pada tahun 1995 sebagai badan yang menguruskan pembangunan usahawan. Pembudayaan keusahawanan adalah merupakan aspek penting dalam pembangunan usahawan.
Budaya keusahawanan ialah sifat-sifat positif yang dimiliki oleh seseorang individu seperti tabah, cekal dan sentiasa bersemangat. Sifat-sifat keusahawanan juga boleh menjadi modal dan aset untuk berniaga dan boleh meyakinkan orang lain. Budaya keusahawanan perlu dipupuk bermula daripada peringkat sekolah melalui program-program keusahawanan yang dijalankan oleh pelajar dan dibimbing oleh guru-guru yang berpengalaman. Budaya ini juga perlu dipupuk pada peringkat IPT dengan menawarkan kursus, program, seminar, atau aktiviti kepada mahasiswa supaya dapat memupuk minat dan mendorong mereka untuk menceburi bidang keusahawanan. Pembudayaan ini penting dan perlu disemai di kalangan belia terutamanya golongan Bumiputera supaya mereka tidak boleh mengharapkan bekerja di sektor kerajaan dan bantuan kerajaan semata-mata. Mereka perlulah lebih berdikari untuk menceburi bidang lain seperti bidang perniagaan ataupun keusahawanan.
Pembudayaan keusahawanan melahirkan usahawan yang kreatif dalam mencari jalan penyelesaian terhadap sebarang permasalahan yang dihadapi. Oleh itu, usahawan perlu sensitif dan sedia bertanggungjawab terhadap kesan yang diterima oleh masyarakat akibat daripada kegiatan keusahawanan yang dijalankan. Di samping itu, melalui pembudayaan keusahawanan membolehkan usahawan mengemblengkan serta memanfaatkan potensi, reputasi dan sumber-sumber yang ada untuk manfaat diri sendiri, perniagaan, pelanggan dan juga masyarakat keseluruhannya. Maka dapatlah kita simpulkan bahawasanya untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya ini bukanlah senang tetapi memerlukan usaha yang kuat, berani menghadapi risiko dan yang paling penting ialah tidak mudah putus asa.

Thursday, 5 May 2016